ORANG Melayu yang sanggup menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang mewakili DAP adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan tanahair, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras,
Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Ini katanya, DAP merupakan sebuah parti yang memperjuangkan politik rasis dan bercita-cita untuk melenyapkan ketuanan Melayu di negara ini.
"Mana-mana orang Melayu yang sanggup jadi calon atas tiket DAP adalah mereka yang sanggup menggadaikan harga diri dan masa depan umat Melayu kerana kepentingan peribadi," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan orang Melayu yang sanggup menjadi abdi politik kepada DAP sahaja yang tergamak berbuat demikian.
Syed Ali mengingatkan, strategi DAP itu juga bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam.
Menurut beliau lagi, tiada asas yang kukuh bagi mereka untuk mendakwa bahawa DAP berkonsepkan sebuah parti pelbagai kaum kerana rekod perjuangan parti itu jelas bertujuan melenyapkan penguasaan orang Melayu dalam politik.
"Sejak awal kelahirannya, DAP sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan ketuanan Melayu termasuk institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam," tegasnya.
Malah tegas beliau, DAP selama ini memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja walaupun pada dasarnya negara ini mempunyai pelbagai kaum dan etnik.
Oleh sebab itu katanya, beberapa pemimpin DAP sebelum ini secara terbuka mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu dan kandungan Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh sebab itu, jika ada mana-mana orang Melayu yang sanggup jadi pak turut DAP dengan menjadi calon parti itu pada PRU akan datang, turut bertanggungjawab menghancurkan masa depan generasi Melayu dan kesucian agama Islam," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, Syed Ali bersependapat dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menegaskan DAP tidak akan memperjuangkan kepentingan Melayu walaupun ada orang Melasyu yang diletakkan bertanding atas tiket DAP.
"Apa yang diluahkan oleh Mohd. Ali adalah realiti yang berlaku hari ini kerana DAP merupakan parti perkauman untuk kepentingan satu kaum sahaja," ujarnya.
Tambah Syed Ali lagi, Pakatan Rakyat (PR) yang didalangi oleh DAP jelas gagal menunaikan tanggungjawab mereka untuk membantu meningkatkan kesejahteraan hidup orang Melayu terutama di Selangor.
Katanya, kedudukan orang Melayu di Selangor semakin terabai apabila DAP menerusi PR menguasai negeri itu selepas PRU ke-12 yang lalu.
Beliau mendakwa, walaupun PKR dan PAS turut berkongsi kuasa di Selangor, tetapi hakikatnya DAP yang lebih berkuasa mencorakkan sistem pentadbirannya.
" Bersama PR pun DAP yang lebih berkuasa,
inikan pula orang Melayu yang hanya menjadi patung DAP ingin bersuara membela nasib dan masa depan bangsanya," jelas beliau.
Beliau bimbang, strategi DAP ini jika tidak diperangi habis-habisan dikhuatiri akan memberi impak bersar kepada senario politik negara di masa akan datang.
"Saya khuatir, inilah perancangan halus DAP untuk menjadikan Melayu terutama umat Islam merempat di tanahairnya sendiri," tegasnya.